Pengembara Backpakers, Jelajah Banyak Negara Dengan Kos Rendah
Kuching Serawak, HANYA berbekalkan dua biji periuk dengan bahan-bahan mentah yang di beli di pasar raya Carrefour Express, di Pulau Santorini, Greece, Mashitah Ahmad, 28, kelihatan bagai lipas kudung menyediakan hidangan makan malam untuk enam rakan yang lain.
Sambil dibantu rakan sebilik, Ain Syazana Jamaludin, 25, tangan Mashitah yang lebih mesra dipanggil Mashi itu ligat memotong bawang dan udang sambil dia mengetap bibir dek kerana pisau tumpul. Dia kemudian menggaul campuran tepung itu.
Meskipun baru kali pertama bergelar pengembara backpakers (beg galas), kedua-dua mereka kelihatan seperti tukang masak terlatih. Selepas hampir satu jam ligat di dapur kecil bilik hotel yang menjadi lokasi penginapan, Mashi kemudian mengajak rakan-rakan pengembara yang lain untuk menikmati cucur udang dan spageti goreng hasil air tangannya.
Menu ringkas itu merupakan makanan pada malam pertama penulis dan rakan-rakan pengembara lain di pulau romantik itu. Menu tengah harinya pula kami melayan selera dengan nasi putih, telur dadar dan sardin.
“Jika di Malaysia, ia merupakan makanan biasa tetapi di perantauan, ia menjadi menu terbaik yang pernah kami nikmati,” seloroh Mashi. Itulah antara rutin rakan-rakan pengembara beg galas yang mengikuti siri jelajah Balkan selama 14 hari pada pertengahan Mac lalu anjuran TMPL Backpackers Resources Buddies.
Sebelum tiba Pulau Santorini, sebahagian rakan pengembara beg galas terlebih dahulu singgah di Istanbul, Turki; Sarajevo, Bosnia; Dubrovnik, Croatia; Kotor, Skopje dan Athens, Greece. Kelima-lima negara itu dijelajahi dalam tempoh hanya tujuh hari.
Penulis bertuah kerana diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman sebagai pengembara beg galas dalam siri jelajah ini meskipun hanya mengembara ke Athens, Pulau Santorini, Greece dan di Istanbul, Turki.
Memandangkan di Pulau Santorini sukar untuk mendapatkan makanan halal, maka memasak merupakan alternatif terbaik. Sebagai pengembara beg galas, ahli-ahli perlu berkompromi dan bersatu dalam banyak perkara.
“Apabila berada di bandar-bandar yang tidak mesra makanan halal, kita perlu mencari jalan. Apa yang kami lakukan ialah menginap di hotel yang mempunyai kemudahan memasak dan setiap orang perlu menyumbang sedikit wang untuk membeli bahan-bahan mentah.
Berkongsi
“Alhamdulillah, barang-barang di Pulau Santorini agak murah. Jika kita berkongsi dengan cara seperti ini, banyak kos dapat dijimatkan,” kata Mashi.
Wanita yang berasal dari Pontian, Johor itu berkata, pengembaraan siri jelajah ke Balkan merupakan pengembaraan sulungnya sebagai pengembara beg galas. Cubaan pertama itu terus membakar semangatnya untuk mengikuti pengembaraan ke India pada tahun hadapan.
Mashi yang bertugas sebagai pegawai bank berkata, pengembaraan tersebut telah membawanya menjelajah ke beberapa negara yang sebelum ini hanya diketahui melalui media massa.
“Saya membuat perancangan awal selama sembilan bulan dan menyimpan duit RM3,500 untuk pengembaraan ini tetapi tidak termasuk kos membeli tiket penerbangan dan duit poket.
“Ternyata, ia adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi sepanjang dua minggu,” katanya menyimpan hasrat untuk melancong ke negara lain.
Sesuaikan diri
Bak kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan. Mashi mengakui kembaranya ke Balkan menjadikan dia lebih matang, berdikari manakala mindanya lebih terbuka.
Sebagai pengembara beg galas, beliau mengakui setiap rakan kembara perlu cepat dan pandai menyesuaikan diri serta sering sepakat dalam membuat keputusan. Kata Mashi, pengembara tidak boleh rambang mata dengan boros membeli-belah di semua destinasi yang disinggahi. Mashi sebaliknya hanya membeli magnet peti sejuk sebagai kenang-kenangannya di Balkan.
Sementara itu, salah seorang rakan kembara, Mohd. Aisamddin Ismail, 26, mencelah, dia mula mengembara sejak tiga tahun lalu. Segala-galanya bermula selepas dia mendapat baucar tiket penerbangan yang disediakan oleh majikannya.
Jurutera penyelenggara pesawat syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. itu memberitahu, pada peringkat awal, dia memilih untuk mengembara di seluruh Asia Tenggara bersama rakan karibnya.
“Melancong sebagai pengembara beg galas memberi lebih banyak kebebasan untuk melawat ke pelbagai destinasi menarik. Saya lebih gemar berada di lokasi-lokasi seperti tempat bersejarah, muzium atau tarikan unit yang menjadi perhatian pelancong,” katanya yang julung-julung kali mengembara bersama-sama TMPL Backpackers.
Menurut Mohd. Aisamddin, dia membawa bekalan makanan dari Malaysia dan memasak sendiri daripada berhabis duit makan di restoran.
Dia menyimpan sekitar RM2,000 sebulan sebagai tabungan pelancongan untuk memenuhi misi menjejak kaki ke seluruh dunia.
Lelaki yang masih bujang itu berkata, dia bercadang untuk ke India dan Peru sebagai destinasi seterusnya.
Tambahnya, antara tip terbaik untuk menjadi pengembara beg galas ialah seseorang itu perlu mempunyai perancangan awal dan mempunyai rekod kesihatan yang baik.
“Pengembara perlu meningkatkan stamina dengan bersukan. Paling penting, mintalah izin dan restu daripada ahli keluarga serta orang tersayang,” katanya.
Sementara itu, pengasas syarikat penganjur, Mohd. Fauzi Zakaria berkata, terma pakej pengembara beg galas perlu difahami dengan jelas kerana konsepnya sangat berbeza dengan servis agensi pelancongan lain.
Kebanyakan syarikat agensi pelancongan yang berpengalaman menawarkan kemudahan lengkap kepada pelanggan sebaik tiba hingga berlepas pulang. Pelanggan juga disediakan khidmat pemandu pelancong, kemudahan pengangkutan, penginapan di hotel, penyediaan makanan dan minuman serta insurans perjalanan.
Bagaimanapun, konsep pengembara beg galas menyediakan khidmat minimum, katanya.
Tiket
Cerita Mohd. Fauzi, syarikatnya menjanjikan pengalaman menaiki pelbagai jenis pengangkutan awam, tidur di asrama, rumah inap, apartmen dan hotel. Pengembara juga akan dibawa melawat dan menjelajah ke destinasi tarikan pelancongan unik yang jarang dilawati oleh pelancong Malaysia.
Pada harga pakej pengembaraan berpatutan yang ditawarkan sehingga 50 peratus lebih murah berbanding pakej pelancongan pesaing lain, pastinya melancong cara beg galas suatu peluang yang terbaik
“Bagaimanapun, kos untuk tiket penerbangan agak mahal kerana ia mewakili separuh daripada kos yang perlu ditanggung oleh seseorang pengembara. Mereka boleh memilih syarikat penerbangan yang diminati dan menawarkan harga menarik,” katanya yang pernah mengembara ke lebih 40 buah negara.
TMPL Backpackers mengendalikan sekitar 10 orang dalam satu kumpulan untuk satu siri jelajah bagi melancarkan segala urusan bermula daripada pemantauan hinggalah kepada penempahan kemudahan penginapan dan pengangkutan.
Biasanya, apabila tiba di sesebuah destinasi pelancongan yang dijadualkan, kumpulan kecil ini akan berbincang tentang aktiviti yang bakal dilakukan termasuk bajet masing-masing.[sumber]
0 Response to "Pengembara Backpakers, Jelajah Banyak Negara Dengan Kos Rendah "
Post a Comment